Friday, May 11, 2012

BENDERA


( Moga tiada lagi perang di muka buku)

Akan kukibarkan bendera itu
dari puncak paling tinggi,
tentu saja kauingin melihat
benderaku itu dipukul badai kejam
hingga tiangnya patah dua
lalu berguling ke gaung dalam.

Andai kaumahu
akan kukibarkan juga bendera putih itu
di tengah-tengah padang terbuka,
moga dapat kaumelihat
dengan jelas dan nyata
bendera putihku itu
terbakar dipanahi mentari senja
atau mereput disirami hujan pagi

Bahkan, aku merelakan jua
bendera putihku kaubawa pulang
bersama-samamu,
bukti kemenanganmu di medan juang.

Aku merelakan bendera putih itu
kau bawa pergi bersamamu,
tapi sebelum kaumelangkah pulang
dengarkan saja kata-kataku
dengan mata hatimu:

aku bukan kalah sebenarnya!
kerana kalah bagiku bagimu nyata amat berbeda,
cuma aku tidak ingin melihat
lebih banyak hati terluka
lebih banyak jiwa tersiksa
lebih banyak kasih menjadi benci.

Bawalah pulang bendera putih itu
bendera itu hatiku yang ikhlas
itupun jika kau mahu memahaminya,

Bawalah pulang bendera putihku itu
bersamamu,
sangkutkan saja di muka pintu
moga saat kaumelangkah keluar
mahupun saat kaumelangkah masuk
kemenanganmu tetap bernyala-nyala,
moga saat kaumelangkah keluar
mahupun saat kaumelangkah masuk
sesalmu bersarang bertahun-tahun lamanya.

(kemaafan diminta, moga Allah ampunkan dosa-dosa kita
yang lalu mahupun yang akan datang)

-malhis/ 10.5.12.

No comments:

Post a Comment