Saturday, May 12, 2012

Banjir Darah


Banjir darah yang meruap merah di Dataran
tahukah Tuah darah siapa yang tumpah
tidak mati Jebat kerana ditikam sahabat
kebal Jebat dalam sumpah keramat
"Raja adil Raja disembah,Raja zalim Raja disanggah"
layu Tuah menumpang keris berkarat
"Pantang Melayu Menderhaka"
dalam diam menjarah harta negara
dalam diam memerah keringat anak bangsa.

Banjir darah yang meruap merah di Dataran
tahukah Tuah darah siapa yang tumpah
kami redah jalan berliku dalam sinar harapan
tidak kau perasap keris berkarat dengan asap kebencian
tidak kau hunus keris berkarat menyemah darah pada lantai sejarah
dan kami terkepung menelan asap hitam di celah resah rekahan sebuah mimpi
dan kami terkepung menelan hanyir janji di bawah bumbung tak beratap
dan kami adalah jebat yang tak mati di lipatan sejarah bangsa.

Banjir darah yang meruap merah di Dataran
tahukah Tuah darah siapa yang tumpah
tidak tenggelam Jebat dalam limpahan fitnah dan sumpah
hidup Jebat di tiap kamar hati menjunjung sumpah
“Berani kerana benar,takut kerana salah”
tenggelamlah Tuah bila keris Taming Sarinya patah
tenggelamlah Tuah dalam perigi najis pilihan hitam hatinya.

Yajuk
Bukit jering
12 mei 2012

No comments:

Post a Comment